Salam Aidil Fitri Maaf Zahir Batin!

Sunday, 11 March 2007

2007 - NEW ZEALAND



Catatan Perjalanan - Pn Badariah Ab Hamid



Hati cukup teruja apabila suami menyatakan hasrat membawa kami sekeluarga ke New Zealand. Semuanya mula terdetik di hatinya memberi peluang anak dan isteri merasai keindahan bumi New Zealand sekembalinya beliau dari lawatan kerja ke Christchurch, Southern New Zealand. Tanggal 26hb Mei 2007 kami lima beranak berlepas ke Auckland menaiki penerbangan MH 1013 yang telah kami tempah sejak Februari 2007 semasa pameran MAS Travel Fair 2007.




Hari Pertama

Setiba di Auckland lebih kurang pukul 11.00 pagi waktu New Zealand, kami mengambil teksi untuk ke tempat penginapan – apartment 2 bilik berdekatan dengan Auckland University. Bulan Mei adalah penghujung musim luruh di New Zealand. Suhu di Bandar Auckland agak sejuk mencecah 14 Celcius siang hari dan malam mencecah 9 Celsius. Selepas check in dan meletak kan bagasi, kami terus keluar berjalan kaki menuju ke Bandar Auckland, singgah di grocery membeli beberapa bekalan untuk di masak. Peraturan di New Zealand tidak membenarkan sesetengah jenis barangan makanan di bawa masuk ke New Zealand termasuk Milo and Sardin (tin) yang kami bawa telah di ambil oleh pihak kastam semasa di airport. Waktu malam di New Zealand agak awal, walaupun jam masih menunjukkan pukul 5 petang, tetapi kebanyakan kedai sudah ditutup dan hari sudah mulai gelap. Pada hari pertama ini selepas selesai membeli bekalan makanan, kami sempat singgah di Albert Park menikmati kehijauan dan udara sejuk di situ.

New Zealand Airport



Albert Park Auckland




Hari kedua

Keesokan hari, kami menyewa kereta yang telah kami buat tempahan melalu internet semasa di Malaysia lagi. Kadarnya agak berpatutan, Toyota Alties 1.8L, NZD 79 sehari. Tanpa berlenggah kami memulakan perjalanan dengan persinggahan pertama di Kelly’s Tarlton – seakan Underwater atau pun Aquaria Malaysia. Anak –anak saya cukup teruja apabila dapat melihat Penguin yang selama ini cuma di lihat di kaca televisyen ataupun gambar.

Kemudian kami sekeluarga memandu menuju Warkworth, sebuah bandar lama di utara Auckland.  Pemandangan sungguh cantik mendamaikan di sepanjang perjalanan. Kami check-out dari apartment keesokan hari untuk menuju tempat seterusnya -Rotorua. 

Dalam perjalanan ke Rotorua, kami singgah sebentar di Hamilton Garden. Pelbagai jenis taman bunga terdapat disini – Taman Inggeris, Taman Jepun, Taman Cina, Taman Renaissance dan sebagainya. 

Seterusnya kami sekeluarga singgah di Paradise Valley Spring Wildlife Park terletak di tengah perjalanan ke Rotorua dimana anak-anak saya berpeluang bermesra dengan  dua ekor anak singa yang pada ketika itu baru berusia 3 bulan. Anak-anak begitu seronok dapat memberi makan kepada rusa, wallabies dan biri-biri. Kami sempat meyaksikan waktu pekerja memberi makan kepada beberapa singa Afrika yang terdapat di situ. 

Di Paradise Valley ini juga terdapat mata air Te Waireka yang menyusuri sungai Ngogotaha. Mengikut sejarah mata air di situ pernah menjadi tempat kunjungan pahlawan Maori membawa ahli mereka yang tercedera dan mendakwa air di situ dapat menyembuhkan luka. Kami tiba di Rotorua agak petang. Seperti yang di rancang, kami menginap di kediaman rumah ladang – Boekhaven Country Cottage yang di usahakan oleh seorang suri rumah (Debbie) dan suami beliau (Ed) seorang pegawai polis. Tempat ini agak tinggi, luas dan begitu mendamaikan. Terkejut anak-anak saya apabila pertama kali melihat biri-biri, gemuk dan berbulu tebal. Mereka lah yang paling seronok bermain-main dengan haiwan peliharaan biri-biri di rumah ladang ini. Cuaca di Rotorua lebih sejuk berbanding dengan Auckland.


Kelly’s Tarlton




Warkworth, sebuah bandar lama di utara Auckland. 


Hamilton Garden



Paradise Valley


Broekhaven Country Cottage





Hari ke 3

Keesokannya kami singgah di salah satu tempat menarik iaitu Whakarewarewa – Thermal Village. Di Rotorua terdapat banyak kawasan kolam air panas dan geyser. Di sekitar Bandar Rotorua, walaupun udaranya sejuk tetapi kita dapat melihat denagn jelas pengeluaran asap dari permukaan bumi disertai bau sulfur yang agak kuat. Pada mulanya kami menyangka itu adalah kabus, tetapi sebenarnya ia adalah wap panas yang terhasil dari permukaan tanah dan kolam air panas tersebut. Di sini kami dihiburkan juga dengan persembahan kebudayaan oleh orang-orang Maori iaitu Tarian Hakka.

Kami meneruskan perjalanan kea rah selatan iaitu ke Tasik Taupo. Berpandukan peta yang ada kami menyusuri perjalanan yang diserikan dengan pemandangan di kiri kanan yang sungguh indah dan mendamaikan. Terlintas di benak fikiran inilah filem Lord of the Ring yang mana pengambaran kisah tersebut dikatakan di lakukan di daerah Rotorua ini.

Di tengah perjalanan kami singgah di satu lagi tempat menarik iaitu Huka Fall, yang menderu deras di Waikato River. Air yang mengalir deras di antara dua tebing batu sungguh jernih sehingga menampakkan warna kebiru-biruan, sungguh menakjubkan ciptaan Allah ini. Saya memimpin anak-anak Haiqal dan Syamil, sambil mendukung si kecil Dhiya menyeberangi jambatan di atas air terjun Huka Fall. Terasa gerun dan menggigil lutut apabila meninjau ke bawah jambatan, air terjun yang deras. Bunyi kuat dari air terjun ini jelas kedengaran dari tempat meletak kenderaan. Indah dan cantik sungguh, kekuasaan dan kebesaran ALLAH, itulah yang terlintas di benak saya dan suami. Anak-anak seperti kehairan sementelaah pertama kali d melihat air terjun Huka Fall, pengalaman baru bagi mereka.

Kerana kesuntukan masa dan hari sudah semakin gelap, kami bergerak pula menuju ke Taupo, tasik semulajadi kesan daripada letusan gunung berapi yang mengikut sejarah terjadi sejak lebih 26,000 tahun yang lalu dan mengikut fakta sizenya adalah lebih kurang size Singapore. Dari kejauhan jelas kelihatan putih salji dari puncak Mount Ruapehu, gunung berapi yang terbesar di New Zealand dan dikatakan masih aktif. Cadangan asal dari Lake Taupo kami ingin memandu terus ke sana tetapi memandangkan masa suntuk dan hari sudah gelap kami terpaksa membatalkan hajat tersebut. Kami meronda di sekitar Bandar Taupo mencari rumah tumpangan untuk menginap. Di sekitar Bandar ini terdapat banyak rumah tumpangan dan hotel termasuk yang mempunyai kemudahan dapur untuk memasak dan membasuh. Kami menginap di sebuah lodge lengkap dengan dapur untuk memasak dengan bayaran NZD140 semalam.

Huka Falls


Whakarewarewa – Thermal Village



Hari ke 4

Selepas check-out dari lodge di Taupo, kami bertolak balik ke Auckland. Perjalanan dari Taupo ke Auckland mengambil masa 4 jam, tapi kali ini kami menggunakan jalan berlainan berbanding sewaktu turun dari Auckland (Rotorua) menuju ke Taupo dulu. Kami saja berbuat begitu kerana ingin menikmati dan melihat pemandangan yang berbeza di sepanjang jalan. Sesampai kembali di Bandar Auckland, kami menginap kembali di apartment yang sama (hari pertama). Memandangkan kami belum sempat membeli cenderahati, jadi kami meluangkan masa patang petang itu keluar ke Victoria Street mencari barangan cenderahati untuk dibawa pulang.

Lake Taupo



Hari ke 5

Waktu pesawat perlepasan kami ke Kuala Lumpur ialah pada pukul 3 petang. Tetapi kami saja berangkat ke airport lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan semasa di airport. Pagi itu Bandar Auckland mengalami hujan renyai-renyai. Nasib baik sepanjang 4 hari sebelum ini cuaca elok tanpa hujan, kalau tidak susah jugak percutian kami ini. Mengikut pemandu teksi yang kami naik, musim Sejuk (Winter) di Auckland akan sentiasa hujan tetapi tiada salji. Tepat jam 3.40ptg, kami meninggalkan New Zealand dengan seribu kenangan, seronok dan puas bercampur baur kerana inilah pertama kali kami meneroka sendiri tempat-tempat yang di lawati tanpa menggunakan tour guide, tetapi cuma berpandukan peta dan papan tanda di jalan. Dari gelagat anak-anak, saya dan suami mengagakkan mereka bertiga beradik itu pun mempunyai perasaan yang sama. Perjalanan balik menaiki MH xxx (tak ingat) mengambil masa 11 jam berbanding semasa datang cuma 9 jam, mungkin kerana kesibukan traffic di udara dan juga perjalanan melawan arus peredaran bumi menjadi penyebab perbezaan masa perjalanan tersebut.


Ini lah sebingkis aturcara perjalanan dan pengalaman kami melancong ke New Zealand. Rasanya seperti tergerak di hati ini yang kami akan menjejakkan kaki lagi ke sini, kerana merasa tidak puas berada di bumi New Zealand. Haiqal 9 tahun, Syamil 5 Tahun dan Dhiya 1 tahun pastinya kenangan yang di lalui di North Island New Zealand ini tidak sepenuhnya kerana masih kecil. Banyak kenangan yang mungkin tidak lekat di benak ingatan mereka sambil mereka membesar. Nukilan perjalanan kami ini akan menjadi bahan bacaan mereka ketika dewasa nanti. Dan kami menyimpan hasrat untuk datang Lagi ke New Zealand apabila anak anak dewasa nanti, maka akan lebih pengertian dan penghayatan serta aprisiasi keindahan dan kenangan dapat mereka kumpul dan simpan di dalam lipatan kehidupan mereka.
Caravan belum kita cuba, South Island belum kita pergi..(Senyum)


Ayah.. Qal Mil Ya Kesayangan Ibu…
Nanti kita terbang ke New Zealand lagi ya…

Photos